Wednesday, 31 March 2010

Perlindungan Takaful Menjamin Masa Depan

PERLINDUNGAN yang betul pasti memberikan jaminan yang memuaskan, khususnya untuk masa depan yang tidak dapat dijangka. Bukan saja perlindungan untuk mental dan emosi, malah pada zahirnya membabitkan fizikal yang memerlukan sedikit pengorbanan dalam aspek kewangan.

Di Barat, insuran memainkan peranan penting dalam kehidupan masyarakatnya. Tetapi, di rantau ini khususnya Malaysia, masyarakat sering kali memberi pelbagai alasan bagi mengelak daripada menyertai skim insuran yang ditawarkan.

Bagi mereka yang sudah memulakan kerjaya, perlu mempunyai takaful untuk perlindungan diri sepanjang hayat bagi memastikan masa depan terjamin. Bagaimanapun, kebanyakannya sering berfikiran mereka tidak perlu membeli takaful kerana pembayaran yang dilakukan satu pembaziran memandangkan usia yang masih muda. Pemikiran seperti ini perlu diubah, terutama zaman sekarang yang penuh dengan cabaran. Letakkan perumpamaan ‘malang tidak berbau’ dan ‘sediakan payung sebelum hujan’ adalah cara terbaik berfikir. Selain itu, pendidikan juga amat penting dalam memberi pengetahuan mengenai kepentingan insuran.

Kajian sebelum ini mendapati punca utama kematian di negara ini ialah penyakit jantung, strok dan barah. Sepanjang 2002 saja, sebanyak lebih 45,000 pesakit dikesan menghidap barah dan ia dikesan semakin meningkat dari lima peratus kepada 10 peratus setiap tahun .

Kebarangkalian bagi seseorang itu diserang penyakit atau mengalami kemalangan tidak mustahil kerana apa saja boleh berlaku. Sehubungan itu, katanya, adalah wajar bagi kita melakukan persediaan supaya dapat memastikan kehidupan masa depan dilindungi sebaik mungkin.

Kita juga tidak boleh mengatakan tidak akan diserang penyakit kronik mahupun terbabit dalam sebarang kemalangan. Faktor itu perlu dikikis daripada minda, apa tah pula rawatan disediakan untuk kes tertentu seperti penyakit kronik memerlukan perbelanjaan yang tinggi. Sekurang-kurangnya dengan memiliki takaful, kehidupan lebih terjamin kerana masalah kesihatan turut termasuk dalam perlindungan disediakan.

Kecanggihan teknologi moden membolehkan seseorang itu menerima rawatan yang lebih baik, sekali gus memberi peluang untuk menikmati kehidupan lebih bermutu. Bagaimanapun, lazimnya rawatan sebegitu menelan perbelanjaan yang tinggi terutama jika dilakukan di luar negara. Malah, rawatan di negara ini juga tidak kurang mahalnya selepas mengambil kira belanja rawatan, kemasukan hospital dan penjagaan profesional.

Masyarakat daripada semua peringkat usia sangat memerlukan skim insuran. Bukan saja dilindungi apabila diserang penyakit, malah skim insuran yang diambil dengan betul mempunyai banyak kebaikan antaranya seperti melindungi kos rawatan, kemalangan, hilang upaya, kematian dan sebagainya.

Insuran mampu melindungi mereka daripada terpaksa membayar kos rawatan yang tinggi bukan saja untuk diri sendiri bahkan keluarga, khususnya bagi mereka yang sudah berumah tangga.

Ketika ini, ada pelbagai jenis takaful diperkenalkan. Ada yang cenderung untuk kesihatan semata-mata, ada juga yang lebih menyeluruh termasuk membabitkan perlindungan hayat termasuk pendidikan anak.

No comments:

Post a Comment